Tersebutlah kisah di sebuah negara bernama Pasir Berdengung, terdapat seorang raja sangat suka melihat rakyatnya beradu kekuatan.
Pada suatu hari, raja tersebut memerintahkan sekalian rakyatnya, lelaki sahaja berkumpul di sebatang sungai yang banyak buaya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk melihat rakyatnya beradu kekuatan dengan buaya.
Baginda dan pembesar-pembesarnya duduk bersantai di tebing sungai mengadap matahari naik manakala rakyat-rakyatnya pula diarahkan berkumpul di seberang yang satu lagi.
Sambil memerhatikan rakyat jelatanya di seberang sana, baginda bertitah sesuatu kepada memanda menterinya. Seketika kemudian, memanda menterinya membuat pengumuman dengan lantang sekali.
"Wahai sekalian rakyat jelata, hari ini Tuanku ingin melihat siapakah antara kamu semua yang benar-benar berani."
"Tuanku menitahkan barang siapa yang sanggup terjun ke sungai dan berenang sampai ke tebing sini tanpa mengalami kecederaan dan dimakan buaya. Segala permintaannya akan dituruti"
Suasana bertukar menjadi hening sejurus selepas Memanda Menteri berucap. Yang terdengar hanyalah kocakan air kesan libasan sang buaya di dalamnya.
Hampir lima belas minit berlalu namun tiada satu kelibatpun yang kelihatan sanggup terjun ke dalam sungai. Tuanku kelihatan gelisah, nampaknya hasrat baginda tidak kesampaian hari itu.
Seketika kemudian, terdengar bunyi kocakan air. Semua mata tertumpu ke sungai. Kelihatan seorang pemuda sedang termengah-mengah berenang merentasi sungai tersebut dengan pantas sekali.
"Wah, nampaknya masih ada lagi rakyat beta yang gagah berani!".
Selang beberapa minit selepas itu, pemuda itu sampai ke tebing dan beliau cepat-cepat naik ke atas. Dia berjaya dan selamat dari dimakan buaya.
"Orang muda, kamu sungguh berani dan beta sangat berbangga dengan kamu", titah raja.
"Katakanlah.. apa sahaja permintaanmu akan beta tunaikan. Apa kamu mahu wang, harta atau pangkat?"
Pemuda yang terketar-ketar kesejukan itu lantas menjawab dengan pantas,
"Tuanku, patik cuma ada satu permintaan sahaja tuanku. Patik ingin tahu siapa yang telah menolak patik ke sungai tadi tuanku. Patik ingin kerjakan dia tuanku".
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 pengomen:
Post a Comment